Khamis, Oktober 30, 2008

IHTIFAL PASTI NEGERI SEMBILAN MERIAH

JEMPOL 22 OKT: Majlis Ihtifal PASTI Peringkat Negeri Sembilan telah berlangsung pada 19 Oktober yang baru lalu di Muassasah Darussyarif, Batu Kikir. Majlis telah dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan , Zulkefly Mohamad Omar, YB Hj Mohd Taufek Abd Ghani ADUN Paroi dan Pengarah PASTI Negeri , Mohamad Syazwan serta ibu bapa dan saudara mara pelajar. Jumlah kehadiran dianggarkan kira-Kira 600 orang.
Majlis Ihtifal ini adalah merupakan medan untuk penuntut PASTI menampilkan bakat dan kebolehan dalam pelbagai bidang selain daripada pencapaian dalam akademik dan sukan. Kali ini diadakan pertandingan ujibakat dalam 7 kategori iaitu hafazan, kepetahan bercerita, berpidato, bersajak, nasyid, kebolehan berkhutbah dan azan subuh. Acara ini juga merupakan acara tahunan PASTI semua peringkat sebelum ke pertingkat negeri dan persekutuan.
Peserta Ihtifal kali ini terdiri daripada wakil-wakil dari kawasan-kawasan Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Telok Kemang, Rasah, Seremban dan Rembau. Semua peserta yang menjadi johan akan mewakili PASTI Negeri Sembilan ke Majlis Ihtifal PASTI Peringkat Kebangsaan di Alor Star, Kedah yang akan berlangsung selama dua hari dari 31 Oktober hingga 1 November 2008 yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah YAB Dato Ustaz Azizan Abd Razak.

Menurut Pengarah PASTI Negeri Sembilan , pada ketika ini di negeri ini telah ada 40 buah PASTI dan sedang dalam usaha untuk menubuhkan 5 buah PASTI lagi menjelang tahun 2009. Jumlah penuntut yang ada sekarang sudah melebihi 1,000 orang dan PASTI Negeri mensasarkan untuk meningkatkan bilangan penuntut sehingga 2,000 orang dalam tahun 2009 nanti, insyaAllah.

Seluruh kawasan di Negeri Sembilan sekarang telah mempunyai PASTI. Menurut Syazwan lagi, sistem pembelajaran PASTI sekarang telah diselaraskan seluruh negara di mana PASTI mempunyai korikulum seragam, peperiksaan serentak dan aktiviti kokurikulum yang seragam.

Berikut adalah senarai pemenang pertandingan tersebut :
1. Nasyid : Kumpulan Nasyid PASTI Kuala Pilah
2. Hafazan (L) : M Zulhusni b Radzi (Kuala Pilah)
3. Hafazan (P) : Aina Hafizatun Nur bt M Rafi (Jempol)
4. Bercerita(L): M Badrish Syah b Jamil (Rembau)'
5. Bercerita(P) : Siti Nabilah bt S Azizi (Port Dickson)
6. Sajak : Arif Azhad b A Kimon (Port Dickson)
7. Azan : M Ammar b Azizi (Jempol)
8. Pidato : Ummu Nadirah bt Norman (Jempol)
9. Qutbah : M Zulhusni b Radzi (Kuala Pilah)

Komen Pembaca