Khamis, November 06, 2008

Hak Asasi Manusia Di Dalam Islam. Siri 8

12. HAK PERLINDUNGAN

Pengisytiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia dalam Islam :
- ( Fasal 9)  :
a. Menjadi hak kepada setiap orang yang dihina atau dizalimi mendapat perlindungan. Ia adalah hak yang dijamin oleh Islam kepada setiap orang yang dihina dan dizalimi dengan tidak mengira apakah warganegara mereka, akidah atau warna kulit.
b. Baitullah Al Haram di Makkah adalah tempat yang aman kepada semua orang dan tidak boleh sama sekali seorang muslim dihalang.
Walaupun akta hak asasi manusia Kesatuan Eropah tidak menyebut sebarang hukum yang berkaitan dengan hak perlindungan, tetapi terdapat negara-negara Eropah tertentu yang mengiktiraf hak ini bertepatan dengan dasar umum perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan ( fasal 14 ) Pengisytiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia. Namun perjanjian antarabangsa hak-hak sosial dan politik tidak menyatakan sebarang fakta yang jelas berhubung dengan masalah ini.
Di sini dapat kita simpulkan bahawa ia bertepatan dengan perkembangan demokrasi yang telah dilaksanakan oleh kebanyakan negara Kesatuan Eropah, menyebabkan orang-orang yang membuat akta hak asasi manusia Kesatuan Eropah   merasakan hak perlindungan ini tidak penting lantas tidak menyatakan hak ini dalam akta mereka.
Meskipun demikian kemungkinan di sana terdapat kepentingan yang besar supaya menyebut hak perlindungan ini secara jelas dalam perjanjian antarabangsa hak-hak sosial dan politik kerana mereka membuat hubungan dengan negara-negara yang berbeza pegangan politik, di antaranya negara-negara bukan demokrasi
Dalam masalah yang berkaitan dengan akta hak asasi manusia Kesatuan Eropah, Sighart telah menunjukkan peraturan no (67), persidangan ke 14 Majlis Menteri-Menteri Kesatuan Eropah dalam masalah hak perlindungan terhadap seseorang yang menghadapi bahaya dizalimi atau diburu. Beliau menambah, sesungguhnya lajnah hak asasi manusia Eropah telah menggesa perkara ini supaya mewajibkan ( perkara ke-3 ) akta hak asasi manusia Kesatuan Eropah apabila terdapat di sana seseorang yang menghadapi layanan yang tidak berperikemanusiaan di negara yang dia berlindung.
Dalam masalah ini jelaslah bahawa Syariat Islam telah mendahului Eropah semenjak 14 kurun yang lalu, bukan sahaja dalam masalah mengiktiraf hak perlindungan tetapi telah melaksanakan hak ini secara praktikal ( fasal 3, bahagian 2-8 hak-hak politik wanita )

13. HAK DAN KEWAJIPAN BERMASYARAKAT DALAM KEHIDUPAN UMUM

Akta hak asasi manusia Kesatuan Eropah ( Protokol tambahan yang pertama ) :
- ( Fasal 3 ) : Negara yang mempunyai autoriti telah bersepakat supaya diadakan pilihanraya secara bebas dalam tempoh yang sesuai dengan cara undian rahsia, dalam keadaan yang membenarkan rakyat menyatakan pendapat mereka secara bebas untuk memilih kerajaan

Akta hak asasi manusia Kesatuan Eropah
- ( Fasal  16)  tidak harus menafsirkan hukum ( perkara 10, 11, dan 14 ) dengan makna menegah pihak yang mempunyai autoriti daripada meletakkan syarat untuk aktif dalam politik kepada orang asing.

Pengisytiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia dalam Islam :
- ( Fasal 11)
a. Setiap individu dalam masyarakat layak untuk memegang jawatan apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.
b.  Sistem syura adalah asas hubungan pemerintah dengan rakyat.dan menjadi hak rakyat untuk memilih golongan pemerintah dengan kehendak mereka yang bebas berdasarkan asas ini.

14. HAK KEBEBASAN BERMASYARAKAT DAN MENUBUHKAN PERSATUAN DAN PERTUBUHAN

Akta hak asasi manusia Kesatuan Eropah :
- ( Fasal 11)  :
1. Setiap orang berhak untuk mendapat kebebasan bermasyarakat secara sempurna dan hak kebebasan menubuhkan persatuan, begitu juga hak untuk menyertai mana-mana pertubuhan pekerjaan untuk menjaga kepentingan mereka.
2. Hak-hak ini tidak boleh tunduk kepada mana-mana syarat yang lain selain yang telah di tentukan oleh undang-undang mengikut kepentingan dalam masyarakat demokrasi untuk keamanan kaum, keselamatan umum, memelihara peraturan, mencegah jenayah, memelihara kesihatan dan budaya atau memelihara orang lain dan kebebasan mereka. (Perkara) ini tidak menegah daripada meletakkan syarat untuk menggunakan askar atau polis atau pengurusan dalam negara.

Pengisytiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia dalam Islam :
- ( Fasal 14)  :
a. Setiap orang berhak untuk menyertai (secara berseorangan atau bersama orang lain) dalam kehidupan berkumpulan, sama ada berbentuk keagamaan, kemasyarakatan dan pengetahuan dan berhak untuk menubuhkan persatuan dan menggunakan apa jua cara untuk melaksanakan hak ini.
b. Menjadi hak dan kewajipan setiap orang menyuruh orang lain melakukan kebaikan dan melarang mereka daripada melakukan kemungkaran dan berhak untuk meminta masyarakat menubuhkan persatuan yang bolehkan seseorang melaksanakan tugas ini.

Komen Pembaca