Isnin, November 03, 2008

Kunjungan Hormat Ketua Pengarah Unit Amal Pusat ke Negeri Sembilan

Seremban, 2 November 2008, Ahad; Ketua Pengarah Unit Amal Pusat, Ustaz Jamsari Masrom bersama dengan KSU Unit Amal Pusat telah mengadakan lawatan sehari ke Negeri Sembilan dalam rangka mengukuhkan organisasi Unit Amal di setiap Negeri. Unit Amal Negeri Sembilan amat bertuah kerana menjadi negeri pertama pilihan Ketua Pengarah Unit Amal Pusat.



Program bermula dengan pertemuan Badan Perhubungan Negeri Sembilan. Majlis dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefly Mohd Omar, Timbalan-timbalan pesuruhjaya, Setiausaha, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda, YDP Jempol, Tampin, Telok Kemang, Rembau dan beberapa ajk perhubungan PAS Negeri. Pertemuan ini turut disertai Ahli Lembaga Pengarah Unit Amal Negeri.

Dalam pertemuan tersebut, Ustaz Jamsari menerangkan tujuan kedatangan beliau untuk membina hubungan baik di antara Unit Amal Pusat dan Perhubungan PAS Negeri Sembilan. Beliau menyarankan seorang ahli Unit Amal bagi setiap cawangan PAS. Sementara Pesuruhjaya PAS Negeri pula amat gembira di atas kunjungan hormat kepimpinan Unit Amal Pusat dan berjanji akan menjaga hubungan ini sebaik-baiknya dan seterusnya menjanjikan sokongan padu kepada Unit Amal. Beliau juga turut menyatakan komitmen beliau untuk menyumbang kepada Unit Amal Negeri sebanyak RM 1,000.00. Terima kasih daun keladi.



Selepas pertemuan bersejarah tersebut, rombongan Unit Amal Pusat telah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Unit Amal Negeri Sembilan. Semua Unit Amal kawasan-kawasan telah menghantar wakil dalam pertemuan tersebut. Dalam pertemuan tersebut, Ustaz Jamsari menjelaskan perkembangan terkini Unit Amal dan telah memberikan sedikit motivasi dan gerak kerja yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli Unit Amal kawasan-kawasan.

Pelbagai soal-jawab menyerikan lagi majlis tersebut. Rata-rata peserta berasa amat berpuas hati atas kunjungan Ketua Pengarah Unit Amal Pusat. Mereka juga menyatakan kesedian untuk mengambangkan Unit Amal di peringkat kawasan-kawasan dan bersedia untuk menjulang Unit Amal ke persada dunia. Majlis diakhiri dengan bergambar bersama-sama dan bersalam-salaman sambil berpelukan sebagai menunjukkan semangat ukhuwwah yang sangat tinggi.



disediakan oleh:
Penerangan Unit Amal Negeri

Komen Pembaca