Isnin, Disember 29, 2008

Nik Aziz yakin kemenangan PAS, hudud diterima

Kuala Terengganu (29hb Disember) – Suatu masa nanti, akan tiba masanya dimana semua pihak akan menerima perlaksanaan undang-undang Islam termasuk Hudud dan Qisas.

“Tak apalah, akan sampai masanya, kita tanam ubi kalau ubi setela kan, ubi keledek ni tiga bulan boleh makan, tapi kalau tanam kelapa sepuluh tahun boleh makan,


“projek besar kita tengok, Islam ni projek besar, sepuluh tahun dua puluh tahun, nabi Muhammad 23 tahun, saya ni dua puluh tahun doh, pelik apa kalau lambat sikit,” kata Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Nik Abd Aziz Nik Mat kepada para wartawan selepas Majlis Pelancaran Jentera Bantuan dari Negeri Kelantan bagi Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu, di Masjid Hiliran, di sini semalam.

Beliau berkata setiap undi yang diberikan kepada PAS akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT kerana PAS adalahsebuah parti yang memperjuangkan Islam berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.



”Kita tak boleh beri pahala, pahala mari dari Allah, Allah berikan siapa yang ikhlas kepada dia (baca ayat Quran) berabdi dengan penuh ikhlas kalau abdi tidak ikhlas tak boleh pahala,

“UMNO awal-awal lagi tolak Islam, ambil kebangsaan, sudahlah begitu dia lawan pulak PAS parti yang terang-terang sebut al-Quran dan Hadis, macamana boleh pahala,

“Sebab itu dia bagi duit, dia ganti dengan duit, ganti duit dengan pahala,”katanya ketika menjelaskan kenyataan dalam ucapannya dalam majlis tersebut yang menegaskan bahawa paa pengundi yang mengundi PAS akan diberi ganjaran pahala.

Sehubungan dengan itu beliau berkata tidak ada sebab bagi orang-orang Melayu Islam mengundi calun UMNO kerana UMNO terlalu banyak kelemahan dan tidak patut wujud.

“Tentulah (UMNO beri duit untuk minta sokongan), kalau tak beri duit kerana apa nak sokong dia, (buat) pembangunan, PAS boleh buat pembangunan, Pakatan Rakyat boleh buat pembangunan, nak jaga Melayu, dia jaga PAS lebih jaga lagi, kerana PAS ni jaga (Melayu) dari dunia sampai akhirat,

“UMNO dia tolak Islam, dia tak sampai akhirat, dia jaga setakat dunia sahaja, ini kelemahan-kelemahan UMNO, dia tak patut wujud atas muka dunia ni,”kata beliau yang turut yakin dengan kemenangan PAS dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Keyakinan beliau adalah berdasarkan kepada sokongan semua pihak yang semakinmeningkat kepada PAS kini berbanding dengan beberapa tahun lalu.

”Tentulah (menang), kalau menang kita boleh dua, pahala pun dapat, negeri kita memerintah, kalau tak menang, kita dapat pahala, tak apa tak rugi (baca ayat Quran) hei orang kafir, mu nak tunggu apa kami, tunggu satu daripada dua baik, kalau kita menang AlhamduliLlah, negeri kita perintah, kalau kita tak

menang, kita boleh pahala tak apa lah tahun depan kita dapat lain,”

“benda-benda hok (yang) PAS kata sekarang ni banyak dah orang terima, dulu, ni cerita (pasal) Hudud lah kan, terima Hudud, dulu usahkan Hudud, sebut kata politik Islam pun orang tak boleh terima, sekarang ni Melayu PAS pun terima, Melayu UMNO banyak sokong PAS dah sekarang ni, Cina pun sokong,”katanya.

Justeru beliau berharap semua warga Parlimen Kuala Terengganu akan mengundi calun PAS pada 17 Januari depan.

“Saya berdoa kepada Allah dan minta rakyat semua, Cina Melayu PAS dan UMNO sokong calun PAS, usahkan orang PAS, UMNO pun saya minta untuk sokong (calun PAS),”tambahnya

Baca Selanjutnya...

Lancarkan demonstrasi, boikot dan solat hajat lindungi rakyat Palestin!

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Hrkh) -Selepas PAS mengutuk serangan Israel di Gaza, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menggesa supaya dilancarkan demonstarsi di seluruh negara bagi menyatakan bantahan keras terhadap tindakan biadap Israel itu.
Iklan

Selain turut mendesak supaya bantuan ketenteraan daripada negara-negara Islam dihantar segera untuk melindungi rakyat Gaza.


Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid berkata Persidangan Negara-negara Islam (OIC) mesti segera bersidang untuk melaksanakan kerahan bantuan ketenteraan ini kerana serangan yang tidak berperi kemanusiaan itu telah mengorbankan lebih 200 orang dan ratusan lagi tercedera malah kesannya bukan sahaja mempengaruhi keadaan semasa di Gaza tetapi dalam jangka masa panjang juga kerana banyak kemudahan awam seperti hospital,air dan elektrik telah musnah dalam serangan tersebut.

"Kita menyeru umat Islam seluruh negara mengadakan dan solat hajat dan demonstrasi di semua masjid bagi menyatakan bantahan keras terhadap serangan ini.

"Umat Islam di Malaysia mesti menegaskan pendirian terhadap negara pengganas Israel yang didalangi Amerika Syarikat. Untuk itu umat Islam mesti memperharui serta mempertajam kempen boikot terhadap produk Amerika da Israel," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Dalam masa yang sama Teras juga mengesa supaya semua kerajaan negara-negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dengan Amerika yang menghalalkan tindakan Israel di Gaza.

Baca Selanjutnya...

Ahad, Disember 28, 2008

SERUAN HIJRAH : JOM SERTAI PAS

Tahniah diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Pusat dan Lajnah Pemerkasaan Parti PAS Pusat yang telah menganjurkan kempen “Jom Sertai PAS” yang telah dilancarkan secara rasminya oleh Presiden PAS beberapa hari yang lalu. Meletakkan golongan muda sebagai sasaran utama, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (DPPNS) melihat ia adalah sesuatu yang amat bertepatan dengan suasana yang ada pada hari ini yang terus menyaksikan golongan muda mudi di negara ini diheret ke arah perkara-perkara yang merendahkan nilai mereka sebagai golongan yang dianggap sebagai harapan agama, bangsa dan negara.

Bertepatan dengan suasana masyarakat islam yang sedang menyambut peristiwa hijrah ar rasul yang membina ransangan untuk bergerak menuju ke arah kebaikan, kempen “Jom Sertai PAS” ini amat diharapkan akan menarik respon golongan muda ke arah perjuangan PAS yang membawa mesej kebaikan, kecantikan dan keadilan Islam. Di atas penghayatan hijrah, DPPNS turut mengajak dan menyeru semua golongan muda di Negeri Sembilan tanpa mengira kedudukan dan latar belakang bahkan walupun pernah melalui detik-detik hitam di dalam kehidupan untuk bersama-sama berada di dalam kecantikan dan kebaikan Islam yang diperjuang oleh PAS.


DPPNS menyatakan keyakinan betapa sebenarnya golongan muda mudi di negeri ini tersirat keinginan untuk membina kehidupan yang baik. Mereka amat memerlukan pembimbing (murabbi) yang memandu diri mereka ke arah kebaikan. Tetapi malangnya mereka terus disajikan dengan agenda-agenda mungkar dan melalaikan yang sebenarnya amat bertentangan dengan naluri mereka sehingga akhirnya mereka seolah-olah tiada pilihan atau alternatif di dalam mengharungi kehidupan. Akhirnya mereka juga yang menjadi mangsa cemuhan dan pandangan serong masyarakat sekeliling bilamana mereka terlibat di dalam gejala-gejala yang merosakkan seperti merempit, melepak, meragut dan pelbagai jenayah yang menakutkan.

DPPNS terus komited untuk memperjuangkan nilai dan harga diri golongan muda dengan mengajak golongan ini untuk bersama-sama dengan PAS. Di waktu yang sama pemuda PAS akan terus tampil memberi pandangan terhadap pihak-pihak yang terlibat di dalam penganjuran program-program yang melalaikan anak-anak muda supaya menghentikan program tersebut dan menggantikan dengan program-program yang lebih membina jiwa. Di ambang tahun baru hijrah ini, biarlah semua pihak benar-benar bertindak di atas semangat dan roh hijrah untuk bersama-sama menuju ke arah perkara yang baik dan lebih baik serta benar-benar menikmati kebaikan dan kecantikan islam.

Inilah seruan hijrah DPPNS kepada semua golongan muda di negeri ini. Bahkan, cantiknya islam yang menjadi teras perjuangan PAS tetap memberi peluang kepada sesiapa pun untuk menuju ke arah kebaikan ini. Ia bukan menjadi hak milik mutlak individu tertentu tetapi adalah milik sesiapa yang mempunyai kehendak yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kebaikan ini.

Bahkan kehendak itulah yang akan mendapat nilaian awal dan ganjaran daripada Allah swt. Di dalam peristiwa hijrah, ada di kalangan orang-orang islam yang tidak sempat sampai ke Madinah kerana berhadapan dengan kematian di pertengahan jalan tetapi bagi mereka ini ganjaran pahala yang sudah tetap di sisi Allah swt. Juga kisah seorang bani Israel yang telah membunuh 99 orang jiwa tetapi kerana kehendaknya yang bersungguh-sungguh untuk mencari kebaikan akhirnya tetap dimasukkan ke syurga walaupun sewaktu ia dimatikan masih lagi belum sampai ke tempat yang ditunjukkan oleh orang alim yang ditemuinya sebagai syarat untuk bertaubat kepada Allah swt.

Sekali lagi DPPNS sentiasa mengalu-alukan semua golongan muda tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama dengan pemuda PAS di dalam usaha memartabatkan ummah dengan kebaikan Islam ini. Berbekalkan niat, azam dan kehendak yang tinggi untuk bersama-sama di dalam usaha mulia ini kita yakin di hadapan sana akan wujudnya barisan pemuda yang hebat pada peribadi, perjuangan dan matlamat kehidupannya di dunia ini. Pemuda inilah yang sedang diperjuangkan oleh DPPNS melalui dasar perjuangan yang memberikan kemuliaan kepada jiwa manusia dengan ISLAM.



Khairul Azhar bin Kamaruddin
Ketua Lajnah Penerangan DPPNS

Baca Selanjutnya...

Jumaat, Disember 05, 2008

Menyusuri 57 tahun PAS di Malaysia

 Oleh: Roslan SMS

Tanggal 24 November lalu genaplah 57 tahun usia Parti Islam Se Malaysia atau PAS. Ditubuhkan pada tanggal berkenaan dalam tahun 1951 di Seberang Perai, parti itu yang diluluskan pendaftarannya pada 31 Mei 1955 dengan nombor pendaftaran 733 (Penang) telah melalui transformasi yang tersendiri, dari sebuah parti kecil yang dipandang lekeh oleh penjajah British, kepada sebuah parti yang mampu menang kerusi dalam Pilihan Raya Persekutuan yang pertama dalam tahun 1955 dan kemudiannya menawan dua buah negeri dalam pilihan raya umum pertama Malaya Merdeka pada tahun 1959, dan kini sebagai sebuah parti bertaraf nasional yang diwakili di setiap pelusuk tanahair dan diiktiraf diperingkat antarabangsa.

PAS telah melalui perubahan nama dalam tempoh lebih lima dekad usianya dari Persatuan Islam Se Malaya (awal penubuhan), ke Persatuan Islam Se Tanah Melayu (30 November 1963) dan kini Parti Islam Se Malaysia (sejak 21 Jun 1977).

Dalam meniti usia yang demikian lama, PAS kini sudah berjaya bertapak dihati rakyat, dikenali dan diakui kehadirannya oleh setiap lapisan masyarakat dalam negara, Cina, Melayu, India dan lain-lain semuanya kenal dan mengetahui darihal PAS. Dengan 3 orang Menteri Besar dan ADUN disetiap negeri kecuali Melaka, Sabah dan Sarawak PAS kini muncul sebagai satu tenaga politik yang disegani, dan dengan kerjasama politiknya melalui Pakatan Rakyat, PAS dan rakan-rakan kini merupakan alternatif yang sangat berupaya bagi mencabar Barisan Nasional diperingkat Persekutuan.

Tidak ada parti dibarisan pembangkang yang dapat bertahan dan kekal sebagaimana PAS. Parti Negara, Front Sosialis, IMP, MDU, NCP dan lain-lain semuanya berkubur, tetapi PAS terus benafas dan bergerak selari dengan arus kemajuan negara.

Sumber ketahanan PAS yang memungkinkan ia terus bertahan dalam menghadapi serba kekangan, tekanan dan cabaran sudah pastilah kerana berpegang teguh pada Islam yang merupakan dasarnya sejak dari 57 tahun dahulu sehingga ke hari ini. Allahyarham Hj Mohd Amin Yaakub, bekas AJK PAS Pusat (1979-87) di dalam bukunya “Sejarah pemerintahan PAS Kelantan 1959-1990” menyebut bahawa hukum tertinggi dalam PAS adalah kitabullah dan sunnah rasul serta qiyas dan ijmak. Ini termaktub dan terus kekal dalam perlembagaan PAS sejak tarikh tertubuhnya iaitu pada Fasal 4(1) perlembagaannya dan sejak 1993 beralih ke Fasal 7(1), Cuma beralih pada nombor fasal namun semangat dan pegangannya terus kekal tanpa berubah atau diubah.

Inilah asas yang membezakan PAS dengan parti siyasah lain dalam negara dan inilah juga kekuatan yang terus kekal membawa PAS sepanjang 57 tahun usianya sehingga ke hari ini dan insyallah sampai bila-bila.

Yang berubah adalah pemimpin, apabila ada pimpinan yang mahu membawa PAS lari dari arus Islam ke arus yang lain, termasuklah kebangsaan umpamanya, yang akan tergelincir keluar bukanlah parti tetapi pemimpin itu sendiri. PAS pernah melihat Presidennya, Setiausaha Agungnya dan pimpinan lain diberbagai peringkat lari meninggalkan PAS, namun parti ini terus kekal digantikan dengan pemimpin yang baru.

Presiden atau ketika itu Yang Dipertua Agung PAS yang pertama adalah Tuan Hj Ahmad Puad Hassan (1951-54) yang kemudiannya meninggalkan PAS kerana mahu bersama Dato Onn. Kemudiannya digantikan Dr Hj Abbas Illias (1954-56). Diikuti Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy (1956-66), Dato Asri Muda (1966-82) yang meninggalkan PAS untuk menubuhkan parti baru Hamim dan kemudiannya menyertai Umno, Tuan Hj Yusoff Rawa (1982-89), Almarhum Ustaz Dato Fadzil Nor (1989-2003), dan kini Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang.

PAS merupakan parti Islam yang meneruskan perjuangan parti Islam yang pertama di negara ini, iaitu Hizbul Muslimin yang diharamkan oleh penjajah British pada tahun 1948. PAS bukan hanya membawa dasar perjuangan parti ini malah menurut John Funston, pimpinan terkanan PAS pun ketika itu terdiri dari pimpinan Hizbul Muslimin belaka.

Demikianlah PAS jatuh bangun, menang dan kalah, bertahan menghadapi cabaran dan pancaroba sehinggakan terdapat usaha menggugurkan “Islam” yang ada pada namanya, namun PAS terus kekal dan hari ini mencecah usia 57 tahun.

Inilah PAS, Parti Islam, yang telah berjaya melahirkan pimpinan yang dikagumi rakyat, pentadbiran yang bersih dan bebas rasuah, segalanya lantaran berpegang teguh pada Islam yang diperjuangkannya. Darah dan airmata mereka yang terdahulu telah ditumpahkan ke bumi bagi melahirkan PAS yang ada yang kita warisi pada hari ini. Oleh itu berpijak pada bumi yang nyata, junjuglah dasar dan prinsip perjuangan yang sama-sama kita pertahankan ini. Ada diantara kita yang bertarung awal atas gelanggang PAS ini sudah tiada bersama kita, malah ada yang ditemani oleh burung-burung hijau di syurga menunggu kita, janganlah kita persiakan apa yang telah dibina ini.

Bahawasanya dengan sesungguhnya adalah disiytiharkan demi untuk menyempurnakan taqwa kepada Allah dan kebaktian kepada sesame manusia, yang dijadikan bagi menegakkan AL AMRU BIL MA’RUF WAN NAHYU ‘ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara maka inilah diisytiharkan sebuah pertubuhan yang dinamakan “PARTI ISLAM SE MALAYSIA”, demikianlah mukaddimah perlembagaan PAS, sama-samalah kita pertahan dan pejruangkannya.

Alfatihah kepada mereka yang telah mendahului kita, Alfatihah.
(* Sang Saka Merah Putih dengan bulatan hijau dipenjuru atas sebelah kirinya di atas adalah bendera resmi PAS, asalnya dengan kalimah ALLAH dan MUHAMMAD tetapi digugurkan atas arahan kerajaan)

Baca Selanjutnya...