Ahad, Disember 28, 2008

SERUAN HIJRAH : JOM SERTAI PAS

Tahniah diucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Pusat dan Lajnah Pemerkasaan Parti PAS Pusat yang telah menganjurkan kempen “Jom Sertai PAS” yang telah dilancarkan secara rasminya oleh Presiden PAS beberapa hari yang lalu. Meletakkan golongan muda sebagai sasaran utama, Dewan Pemuda PAS Negeri Sembilan (DPPNS) melihat ia adalah sesuatu yang amat bertepatan dengan suasana yang ada pada hari ini yang terus menyaksikan golongan muda mudi di negara ini diheret ke arah perkara-perkara yang merendahkan nilai mereka sebagai golongan yang dianggap sebagai harapan agama, bangsa dan negara.

Bertepatan dengan suasana masyarakat islam yang sedang menyambut peristiwa hijrah ar rasul yang membina ransangan untuk bergerak menuju ke arah kebaikan, kempen “Jom Sertai PAS” ini amat diharapkan akan menarik respon golongan muda ke arah perjuangan PAS yang membawa mesej kebaikan, kecantikan dan keadilan Islam. Di atas penghayatan hijrah, DPPNS turut mengajak dan menyeru semua golongan muda di Negeri Sembilan tanpa mengira kedudukan dan latar belakang bahkan walupun pernah melalui detik-detik hitam di dalam kehidupan untuk bersama-sama berada di dalam kecantikan dan kebaikan Islam yang diperjuang oleh PAS.


DPPNS menyatakan keyakinan betapa sebenarnya golongan muda mudi di negeri ini tersirat keinginan untuk membina kehidupan yang baik. Mereka amat memerlukan pembimbing (murabbi) yang memandu diri mereka ke arah kebaikan. Tetapi malangnya mereka terus disajikan dengan agenda-agenda mungkar dan melalaikan yang sebenarnya amat bertentangan dengan naluri mereka sehingga akhirnya mereka seolah-olah tiada pilihan atau alternatif di dalam mengharungi kehidupan. Akhirnya mereka juga yang menjadi mangsa cemuhan dan pandangan serong masyarakat sekeliling bilamana mereka terlibat di dalam gejala-gejala yang merosakkan seperti merempit, melepak, meragut dan pelbagai jenayah yang menakutkan.

DPPNS terus komited untuk memperjuangkan nilai dan harga diri golongan muda dengan mengajak golongan ini untuk bersama-sama dengan PAS. Di waktu yang sama pemuda PAS akan terus tampil memberi pandangan terhadap pihak-pihak yang terlibat di dalam penganjuran program-program yang melalaikan anak-anak muda supaya menghentikan program tersebut dan menggantikan dengan program-program yang lebih membina jiwa. Di ambang tahun baru hijrah ini, biarlah semua pihak benar-benar bertindak di atas semangat dan roh hijrah untuk bersama-sama menuju ke arah perkara yang baik dan lebih baik serta benar-benar menikmati kebaikan dan kecantikan islam.

Inilah seruan hijrah DPPNS kepada semua golongan muda di negeri ini. Bahkan, cantiknya islam yang menjadi teras perjuangan PAS tetap memberi peluang kepada sesiapa pun untuk menuju ke arah kebaikan ini. Ia bukan menjadi hak milik mutlak individu tertentu tetapi adalah milik sesiapa yang mempunyai kehendak yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kebaikan ini.

Bahkan kehendak itulah yang akan mendapat nilaian awal dan ganjaran daripada Allah swt. Di dalam peristiwa hijrah, ada di kalangan orang-orang islam yang tidak sempat sampai ke Madinah kerana berhadapan dengan kematian di pertengahan jalan tetapi bagi mereka ini ganjaran pahala yang sudah tetap di sisi Allah swt. Juga kisah seorang bani Israel yang telah membunuh 99 orang jiwa tetapi kerana kehendaknya yang bersungguh-sungguh untuk mencari kebaikan akhirnya tetap dimasukkan ke syurga walaupun sewaktu ia dimatikan masih lagi belum sampai ke tempat yang ditunjukkan oleh orang alim yang ditemuinya sebagai syarat untuk bertaubat kepada Allah swt.

Sekali lagi DPPNS sentiasa mengalu-alukan semua golongan muda tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama dengan pemuda PAS di dalam usaha memartabatkan ummah dengan kebaikan Islam ini. Berbekalkan niat, azam dan kehendak yang tinggi untuk bersama-sama di dalam usaha mulia ini kita yakin di hadapan sana akan wujudnya barisan pemuda yang hebat pada peribadi, perjuangan dan matlamat kehidupannya di dunia ini. Pemuda inilah yang sedang diperjuangkan oleh DPPNS melalui dasar perjuangan yang memberikan kemuliaan kepada jiwa manusia dengan ISLAM.



Khairul Azhar bin Kamaruddin
Ketua Lajnah Penerangan DPPNS

Komen Pembaca