Sabtu, Januari 17, 2009

Kuala Terengganu di “round” terakhir

Oleh Roslan SMS


Semalam saya sempat bertemu dengan seorang kawan lama berbangsa Tionghua. Beliau seorang veteran, peniaga yang berjaya dari Kelang dan pernah menjadi ahli MCA, Saya dan keluarga mengenali beliau lebih 20 tahun kerana pernah terlibat dalam industri penternakan satu ketika itu.

Tidak lama kami berbual terus sahaja menyentuh isu pilihan raya kecil di Kuala Terengganu. Ternyata rakan-rakan kita dari masyarakat Tionghua begitu prihatin dalam hal-hal politik dan mereka tidak segan-segan untuk menyatakan sokongan dan pendirian mereka terhadap satu-satu isu seccara terbuka. Ini mungkin kerana mereka memperolehi pendedahan yang lebih meluas oleh kerana media khasnya media cetak bahasa mereka lebih banyak dan kandungannya lebih terbuka dan berani, Tidak dinafikan mereka juga merupakan masyarakat pembaca.

Kata kawan saya itu masyarakat Tionghua di Kuala Terengganu berkemungkinan akan memihak kepada calon PAS. Antara faktornya menurut beliau, TPM Najib Tun Razak yang mengetuai jentera BN di sana kelihatan begitu agresif dan keras, kadangkala melampau. Masyarakat Tionghua boleh terima kehadiran beliau sebagai TPM tetapi apabila pendekatan beliau terlalu egoistik, angkuh dan besar kepala, mereka tidak dapat menerima dan mungkin juga benci.

Beliau juga menyebut Najib punya rekod peribadi yang diketahui oleh masyarakt Tionghua (yang saya tidak cadang menghuraikannya di sini), ternyata pemimpin seperti ini tidak layak memimpin negara.

Ternyata walaupun yang bertanding di Kuala Terengganu itu Wan Farid dan Hj Wahid serta seorang calon bebas, tetapi tumpuan lebih terhadap Najib. Maklumlah inilah manusia yang jika ditakdirkan Allah tiada perubahan berlaku, bakal menerajui negara pada bulan Mac nanti. Lalu apa sahaja yang beliau lakukan sudah tentu menjadi tumpuan dan perhatian ramai.

Dari perbualan kami saya dapat membaca bahawa PAS kini sudah tidak menjadi masalah kepada masyarakat Tionghua lagi, tidak barangkali seperti 20-30 tahun lalu. Rakan saya ini boleh terima calon PAS dan malah senang hati dengan penampilan calon PAS di Kuala Terengganu itu.

Saya mengharapkan ini petanda yang baik bagi PAS dan saya mendoakan semoga jika benar bacaan kawan saya itu, masyarakat Tionghua yang terdiri dari para pengundi di Kuala Terengganu akan keluar beramai-ramai mengundi calon PAS pada hari Sabtu nanti.

Dan bagaimana pula dengan pengundi Melayu?

Saya sesungguhnya menaruh harapan yang tinggi terhadap pengundi Melayu. Pengundi Melayu di Kuala Terengganu tanpa banyak kira bicara telah dengan berani mengundi Allahyarham Dato Onn Jaafar (Parti Negara) dan Allahyarham Hasan Adli (PAS) dalam pilihan raya 1959 bagi kerusi KT Utara dan Selatan. Bayangkan Dato Onn , anak Johor yang telah menyumbang jasa dan khidmat pada bangsa dan tanahair, pejuang kemerdekaan yang ditolak dan ditendang oleh Umno, diterima sebagai bintang oleh anak-anak Kuala Terengganu pada tahun 1959!

Begitu juga jangan kita lupa bahawa pengundi di Kuala Terengganu telah dengan berani melawan arus, mengundi Dato Manan Osman pada tahun 1990 yang bertanding atas tiket Semangat 46.

Dengan sejarah yang sedemikian saya tidak nampak mengapa pengundi Melayu Kuala Terengganu hari ini tidak dapat memilih dan mengangkat calon PAS Hj Mohd Abdul Wahid Endut, yang mempunyai latarbelakang dan rekod cemerlang, yang berjuang untuk memartabatkan Islam, sebagai wakil parlimen mereka pada Sabtu ini. Jika sinergi antara pengundi Tionghua dan Melayu serta pengundi India yang kecil bilangannya itu dapat disedar dan digerakkan, insyallah suatu gelombang besar akan berlaku di Kuala Terengganu Sabtu ini.

Kini di babak penghujung ini, disamping terus bekerja ke tahap maksima, jangan sekali-kali kita lupa mengadu pada Allah swt, perbanyakkanlah solat hajat dan berdoa agar diberikan Nya kemenangan pada kita Sabtu ini. Wang, sogokkan dan tekanan telah dan bakal digunakan, tetapi tidak siapa berkuasa menolak kemahuan Allah swt.
Perkenankanlah hajat kami Ya Allah.

Komen Pembaca