Sabtu, Januari 17, 2009

Suasana tenang menjelang tempoh pengundian

KUALA TERENGGANU, 16 Jan (Hrkh) Hanya beberapa jam lagi menjelang tempoh pengundian suasana nampak tenang biar pun kesesakan jalan raya masih lagi terasa di beberapa tempat.

Bangsal-bangsal panas tempat menyemak daftar pemilih juga disiapkan parti-parti yang bertanding tidak jauh daripada tempat pembuangan undi.

Kelihatan di beberapa tempat bangsal panas disiap lengkap dengan komputer sebagai tempat menyemak nama pemilih. Setakat jam 11 malam hanya kelihatan petugas PAS yang rancak menyiapkan persiapan tersebut.

Malam ini tidak ada kempen melalui ceramah sebagaimana yang diadakan pada malam-malam sebelumnya. Calon dan petugas parti hanya melakukan aktiviti lawatan dalam kelompok yang kecil.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentapkan peraturan sehingga jam 12 malam ini sebarang bentuk kempen dihentikan.

Manakala petugas bantuan daripada luar Terengganu sedang sibuk mempersiapkan jentera sebagai bantuan kepada petugas tempatan.

Misalnya PAS Pasir Puteh telah mengadakan taklimat kepada tenaga petugasnya awal malam tadi, dengan menyusunkan jenteranya mengikut bidang tugas masing-masing.

Petugas bahagian keselamatan, perayu undi dan tempat bangsal panas diberi taklimat mengenai bidang tugas yang perlu mereka lakukan bermula malam ini sehingga berakhir tempoh mengundi.

Mereka akan bertugas di tempat mengundi Sekolah Menengah Ugama Sultan Zainal Abidin. PAS kawasan Jeli, Tanah Merah dan Wilayah Persekutuan juga bertugas di lokasi tersebut.

Penyelaras jentera PAS Pasir Puteh, Mohd Judin Samat menyampaikan taklimat akhir kepada petugas yang terdiri daripada pemuda, dewan ulama dan muslimat.

"Saya berharap petugas menjaga disiplin masing-masing dan bertugas mengikut jadual yang ditetapkan. Kita hanya membantu petugas tempatan bagi melancarkan segala urusan berkaitan pengundian," katanya.

Kumpulan petugas dibahagikan kepada lima kumpulan akan bergilir-gilir membantu Unit Peti Undi Pantai Terengganu.

Yang Dipertua PAS Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Muhammad berharap semua petugas memikulkan tugas yang diamanahkan dengan baik dan berkesan bagi memastikan kemenangan calon PAS.

"Dalam mengendalikan suasana, saya berharap sangat agar tuan-tuan bertindak dalam keadaan sabar dan sentiasa memberi senyuman kepada pengundi," kata beliau.

Turut kelihatan pada majlis itu, Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim dan Adun Limbungan, Drs Zainuddin Awang Hamat. Hampir 100 petugas hadir pada taklimat tersebut.

Komen Pembaca